Monday, May 4, 2015

MENGQADA PUASA RAMADHAN

Bersama PROF.MADYA DR.FARIZA MD. SHAM





SOALAN:
Jika seseorang terlupa jumlah hari puasa yang perlu diganti dua tahun sebelum ini atau beberapa tahun yang lalu, bagaimanakah cara terbaik yang perlu dilakukan? Bagaimanakah pula dengan puasa yang belum diganti selama bertahun-tahun? Bagaimanakah cara pembayaran denda dan penggantian puasa tersebut.

JAWAPAN:
Puasa dari sudut bahasa bererti menahan daripada sesuatu samaada kata-kata atau makanan. Dari sudut syarak, puasa bermaksud menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajaar hingga terbenam matahari disertai dengan niat. Dalil wajib puasa pada bulan Ramadhan dinyatakan dalam surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud: "Masa yang diwajibkan berpuasa ialah bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk serta menjadi pembeza (antara yang benar dengan yang salah). Oleh itu sesiapa antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan atau mengetahuinya, maka hendaklah dia berpuasa dibulan itu".

Oleh kerana puasa merupakan kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan, maka sesiapa yang meninggalkannya perlu mengantikan puasa tersebut. Terdapat beberapa sebab mengapa perlu menggantikan puasa dan cara berbeza menggantikannya. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 184 yang bermaksud:
                "Dan wajib keatas orang-orang yang tidak berdaya perpuasa (kerana tua dan sebagainya), hendaklah membayar fidyah dengan memberi makan orang-orang miskin."

Secara umum antara sebab seseorarng perlu mengqadakan puasa jika dia bermusafir atau sakit. Bagi individu yang meninggalkan puasa kerana musafir atau sakit, dia wajib menggantikan puasanya sebelum datangnya Ramadhan pada tahun berikutnya.

Bagi orang yang terlalu tua dan pesakit yang tiada harapan untuk sembuh, individu kategori ini boleh mengggantikan puasa yang ditinggalkan dengan membayar fidyah iaitu memberi makan kepada seorang miskin secupak makanan asasi pada setiap hari puasa yang ditinggalkan. Mengikut ulama ukuran secupak itu lebih kurang 600 gram.

Wanita hamil atau ibu menyusukan anak yang meninggalkan puasa kerana bimbang akan memudaratkan dirinya pula wajib menggantikan puasa sebelum tiba Ramadhan berikutnya.Sekiranya wanita itu berbuka puasa kerana bimbang berlakunya keguguran jika dia berpuasa atau kekurangan susu sehingga memudaratkan bayinya, maka dia wajib qada dan bersedekah secupak makanan asasi bagi setiap hari yang ditinggalkannya.

Selain itu individu yang berjimak sewaktu perpuasa pula perlu membayar kafarah kerana telah merosakkan puasa. Kafarah tersebut ialah dengan memerdekakan hamba. Jika tidak menemui hamba, maka individu tersebut perlu berpuasa dua bulan berturut2. Bagaimanapun jika tidak mampu, hendaklah memberi makanan kepada 60 orang miskin.

Wanita yang haid dan nifas pula perlu menggantikan puasanya mengikut hari yang ditinggalkan sebelum hadirnya Ramadhan tahun berikutnya.

Sehubungan itu seseorang itu perlu mengenal pasti dia tergolong dalam mana-mana kategori yang dinyatakan untuk mengqadakan puasanya.

Sekiranya meninggalkan puasa dan tidak menggantikannya sehingga hadir Ramadhan berikutnya, maka qada puasa itu menjadi berganda. Sehari yang ditinggalkn perlu diganti sebanyak dua hari dan begitulah seterusnya.

Jika bertahun-tahun dan tidak pasti berapa banyak hari yang telah ditinggalkan, maka berusahalah menggantikannya sedaya yang mungkin. Selebihnya, seseorang boleh membayar fidyah dengan memberi makan asasi kepada fakir miskin.
























1 comment: